IPOH: Sebanyak 118 premis di negeri ini, termasuk sembilan tapak binaan diarah tutup selama dua minggu sejak Januari lalu kerana terdapat pembiakan larva nyamuk Aedes di premis berkenaan.

Di samping itu, sebanyak 802 kompaun dikeluarkan dengan jumlah kutipan hampir setengah juta ringgit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, bagi tempoh yang sama, perak mencatatkan 1,797 kes denggi, meningkat lebih 23 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Bilangan premis yang kita telah periksa adalah sebanyak 215,184, bilangan premis yang kita periksa dan positif ada pembiakan aedes ini adalah sebanyak 4,100.

“Kerajaan negeri Perak sangat serius untuk memastikan wabak Denggi dan juga Chikungunya yang melanda negeri Perak pada hari ini dengan jumlah peningkatan ini, kita serius untuk memastikan kes ini akan diturunkan daripada minggu ke minggu,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan operasi bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di beberapa tapak binaan di sini, hari ini.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah melahirkan kerisauan berhubung peningkatan kes demam Denggi di negara ini, di sebalik perkembangan baik mengenai kes COVID-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia menjangkakan peningkatan kes demam Denggi gelombang kedua bermula awal Jun sehingga September ini iaitu berdasarkan tren kes demam Denggi selama 5 tahun.