IPOH: Seramai 12 anggota sindiket Macau Scam melibatkan kerugian kira-kira RM11 juta di kalangan warga tempatan seluruh negara, ditahan reman 21 hari di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Perintah tahanan itu dikeluarkan Hakim N. Priscilla Hemamalini di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Kesemua mereka terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita yang berumur antara 20 hingga 26 tahun di tahan dalam satu operasi di sebuah kondominium di Seri Petaling, Kuala Lumpur, pada Oktober lalu.

Pada 3 November, Pemangku Ketua Polis Perak ketika itu, Datuk Goh Boon Keng berkata, pihaknya percaya sindiket itu telah beroperasi dua tahun lalu di luar negara dan memindahkan operasi mereka ke Malaysia ekoran pandemik COVID-19.

Menurutnya, kejayaan itu hasil risikan polis selepas menerima laporan seorang mangsa di Ipoh yang dipercayai ditipu RM67,000 oleh sindiket berkenaan.

Ekoran daripada itu, polis telah menjalankan siasatan selama satu minggu yang membawa petunjuk kepada serbuan yang dibuat.

Dalam serbuan itu, polis menahan
22 orang suspek ahli sindiket berumur 18 hingga 27 tahun. yang menjalankan aktiviti di sebuah pusat panggilan.

Berdasarkan modus operandi sindiket itu, mereka menipu mangsa dengan menyamar sebagai pegawai Pos Laju dan polis.

Hasil siasatan, polis mengesan 76 kes melibatkan sindiket tersebut yang melibatkan kerugian kira-kira RM 11 juta.