KUALA LUMPUR: “Bunyi kuat yang menakutkan berserta gegaran ketika bersarapan pagi membuatkan kami kumpulan pendaki panik dan tergamam,” kata Khairul Azim,32.

Khairul antara 13 pendaki Malaysia di Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia yang merasai gegaran gempa bumi kuat 6.4 magnitud pada 6.47 pagi tadi.

Beliau yang mengetuai kumpulan pendaki Langkawi Island Hikers, Majlis Bandaraya Alor Star dan Group Kampar berkata, mereka ketika itu berada di Base Camp Savana.

“Gegaran kuat disertai bunyi yang menakutkan ketika kami bersarapan menyebabkan semua panik.

“Nasib baik kami sudah tiba di Base Camp Savana dan dalam perjalanan turun dari Gunung berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Khairul berkata, mereka tiba di Base Camp Savana pada tengah malam tadi selepas menawan puncak Gunung Rinjani.

“Kami bernasib baik kerana sudah turun dari gunung berkenaan, jika dilihat dari Base Camp ini debu amat banyak di puncak berkenaan.

“Kami kini sudah tiba di Base Camp Sembalun dan banyak rumah yang rosak teruk akibat gempa bumi,” katanya sambil menambah mereka akan pulang ke Malaysia esok.

Mengikut laporan Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), seramai 788 pendaki didaftarkan menaiki gunung berkenaan sejak Jumaat lalu – berita harian