IPOH : Seramai 14 bayi tahun baru 2020 dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh sehingga jam 12 tengahari ini.

Daripada jumlah itu, lapan adalah bayi lelaki dan enam bayi perempuan.

Bayi pertama seorang perempuan dilahirkan pada jam 12.16 malam.

Sementara itu, impian sepasang suami isteri untuk menyambut kelahiran anak sulung mereka pada 1 Januari 2020 termakbul apabila bayi perempuan mereka selamat dilahirkan di HRPB pada 1.51 pagi.

Nur Izzati Syazwani Abdul Halim, 26, berkata, dia dan suami Muhammad Farhan Mat Kamil, 27, menyimpan impian itu untuk dijadikan hadiah buat ibu mertuanya yang lahir pada 1 Januari 1964.

“Kalau ikut jangkaan, bayi saya lahir pada 4 Januari, tetapi dua hari lalu sudah ada tanda-tanda awal untuk melahirkan.

“Semua ahli keluarga termasuk ibu mertua saya mendoakan agar saya selamat melahirkan pada 1 Januari, Alhamdulillah tertunai juga permintaan kami,” katanya.

Menurut Nur Izzati, tarikh 1 Januari bukan sahaja memberi makna buatnya sekeluarga tetapi detik istimewa buat negara kerana sinonim dengan Wawasan 2020.

“Terasa bangga pula kerana dapat berkongsi tahun baharu 2020 dengan semua,” ujarnya.

Turut meraikan kelahiran bayi sulung ialah Yip Mei Wan, 30, yang melahirkan anak perempuan pada 2.36 pagi selepas tiga tahun berkahwin.

Katanya, sejak awal doktor telah menjangkakan tarikh kelahiran anaknya pada 1 Januari dan ia membuatkan semua ahli keluarga sangat teruja.

“Suami paling gembira, bukan sahaja kerana jadi bapa, tetapi sebab tarikh hari ini yang begitu istimewa, ini permulaan baik untuk tahun baharu 2020 buat kami,” katanya.