IPOH: Seramai 14 individu termasuk tiga wanita didenda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berhibur beramai-ramai di sebuah kondominium di sini, pada Selasa.

Kesemua mereka, berumur antara 19 hingga 24 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Jalan CM Yusof, Pekan Baru, kira-kira jam 2 pagi, 5 Mei lalu.

Tertuduh terdiri daripada pelbagai latar belakang, antaranya penuntut kolej swasta, pekerja kedai makan, penghantar makanan dan tukang gunting rambut.

Mereka didakwa melanggar Peraturan Seksyen 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang sabit kesalahan kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara sebulan sekiranya mereka gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Darinee manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Awatif Ahmad Bashir dan E. P. Sittan.