KANO: Pemberontak yang mempunyai kaitan dengan kumpulan DAESH membunuh 15 anggota keselamatan dalam satu serangan terhadap konvoi gabenor wilayah Timur Laut Nigeria.

Tiga sumber keselamatan berkata, lapan anggota polis, tiga askar dan empat anggota militan disokong pemerintah terbunuh dalam serangan ke atas kenderaan membawa gabenor Borno, Babagana Umara Zulum berhampiran bandar Baga di tepi Tasik Chad.

Pemberontak melepaskan tembakan dengan mesingan dan bom tangan berpeluru roket ketika konvoi melalui kampung berdekatan markas Pasukan Petugas Bersama Multinasional (MNJTF), sebuah gabungan tentera terdiri daripada Nigeria, Chad dan Cameroon.

Menurut satu sumber, gabenor berjaya melepaskan diri tanpa mengalami kecederaan tetapi 15 anggota keselamatan konvoi terbunuh dalam pertempuran sengit dengan pengganas.

Zulum dalam lawatan penilaian ke Baga sebagai persiapan untuk mengembalikan ribuan penduduk yang dipindahkan dari bandar itu oleh militan pada tahun 2014.

Beliau menaiki helikopter ke kota Monguno dan menuju ke Baga dalam konvoi di bawah kawalan keselamatan yang ketat.

Kumpulan Wilayah Islam Afrika Barat (ISWAP) yang bergabung dengan DAESH mengekalkan sebahagian besar kem di pulau di Danau Chad dan wilayah itu terkenal sebagai benteng bagi pemberontak.

Kumpulan itu baru-baru ini meningkatkan serangan terhadap sasaran ketenteraan dan orang awam di rantau ini.

Pada bulan Julai, konvoi Zulum diserang oleh ISWAP di luar Baga, memaksanya membatalkan perjalanan ke bandar.

Minggu lalu kumpulan itu membunuh seorang komander tentera Nigeria dan tiga orang tentera dalam serangan di bandar Damboa.

Pemberontakan selama sedekad di Timur Laut Nigeria membunuh 36,000 orang dan memaksa lebih daripada 2 juta penduduk melarikan diri dari kediaman mereka. – AFP