PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memaklumkan terdapat kira-kira 15,000 jawatan tetap yang masih kosong dan boleh dimohon bagi mana-mana individu yang memenuhi kelayakan.

Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, kekosongan jawatan itu bersandarkan kepada pelantikan tahunan serta bergantung kepada permintaan daripada setiap kementerian dan jabatan kerajaan.

Katanya, pihaknya pernah membuat sebanyak 25,000 lantikan jawatan tetap sebelum ini yang bergantung kepada permintaan daripada setiap kementerian tersebut.

“Bagi jawatan kontrak anggaran 15,000 hingga 20,000 kekosongan bergantung kepada keperluan tahunan yang mungkin bertambah atau berkurang kerana sebaik sahaja jawatan itu dipohon oleh pihak kementerian kita akan buat proses seterusnya.

“Permohonan perjawatan dalam sektor kerajaan juga tiada had umur namun bergantung kepada skim yang dipohon contohnya melibatkan tenaga fizikal seperti agensi penguat kuasa (ada had umur tertentu). Malah, permohonan biasa bagi mereka yang berumur 40 tahun juga boleh dibuat sekiranya ada bidang kelainan, kita akan ambil mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Sistem Pendaftaran Pekerjaan SPA (SPA9) yang merupakan penambahbaikan daripada sistem sedia ada iaitu SPA8i dan menerima kira-kira 9 juta kunjungan serta hampir 200,000 pendaftaran dibuat oleh pemohon kerja walaupun baru diperkenalkan pada 28 September lalu. 

SPA melaksanakan permohonan jawatan secara dalam talian sepenuhnya pada 1 Januari 2009 dan bilangan permohonan pendaftaran pekerjaan dalam perkhidmatan awam yang tertinggi pernah dicatatkan sebayak 2.12 juta pada 2013.

Menurut Zainal Rahim, kelebihan SPA9 adalah dibangunkan dengan penggunaan kad pengenalan dan pemohon boleh mengesahkan serta mengemas kini maklumat pendaftaran serta menyemak status permohonan.

Jelasnya, salah satu keistimewaan SPA9 itu adalah menyediakan kemudahan padanan kerja bagi mengenal pasti skim jawatan bersesuaian dengan kelayakan pemohon.

“Pengisian maklumat akademik calon, pengesahan pengiktirafan kelayakan akademik, maklumat kewarganegaraan, maklumat pemegang kad orang kurang upaya, penerima bantuan e-Kasih dan lesen memandu juga adalah secara automatik yang dijana terus daripada sistem yang diintegrasikan,” katanya.

Belia malah memberitahu, SPA akan terus membina dan mengadaptasi transformasi digital dalam setiap urusan dan prosedur serta memanfaatkan semaksimum peluang yang ada.

“Berkonsepkan ciri-ciri keselamatan dan kerahsiaan maklumat, kini proses semakan kelayakan, permohonan jawatan serta tapisan melalui SPA9 menjadi lebih mudah serta mesra pengguna.

“Jaminan data yang lebih berintegriti dan telus diperoleh melalui perkongsian data pintar dengan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat,” katanya. -UTUSAN