TAIPING: Polis mengeluarkan 159 saman dalam Op Bersepadu Ambang Merdeka di Taman Tasik Taiping dan Jalan Ipoh – Butterworth, dekat sini, mulai malam tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam operasi bemula jam 9 malam hingga 6 pagi tadi, polis turut menyita empat buah motor dan dua buah kereta.

Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada lesen, langgar lampu isyarat merah, pandu laju, ubah suai kenderaan, tiada nombor pendaftaran, gagal berhenti dan tiada cermin sisi.

“Sepanjang operasi itu, kita memeriksa 140 buah motosikal dan 20 kereta di samping memeriksa 215 individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Osman berkata, tiada tangkapan dibuat dalam operasi yang melibatkan 12 orang pegawai dan anggota polis trafik itu.