BEIRUT: Enam belas kakitangan di pelabuhan Beirut, lokasi letupan besar, telah ditahan berhubung letupan maut yang menghancurkan sebahagian besar bandar, kata seorang pendakwa raya tentera, semalam.

Pihak berkuasa Lubnan telah mengumumkan mengenai siasatan terhadap letupan pada Selasa itu, yang mereka katakan disebabkan oleh api yang menyalakan 2,750 tan ammonia nitrat yang disimpan di sebuah gudang di pelabuhan Beirut.

Menteri luar Lubnan mengatakan di radio Perancis semalam, bahawa sebuah jawatankuasa penyiasatan telah diberikan empat hari untuk menentukan pihak yang bertanggungjawab terhadap letupan itu, yang mengorbankan lebih 130 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 5,000 orang.

Pendakwa raya tentera, Fadi Akiki dalam satu kenyataan berkata, 18 kakitangan di pelabuhan Beirut telah dipanggil untuk disoal siasat, 16 daripadanya masih dalam tahanan sementara menunggu siasatan lanjut.

Mereka termasuk pegawai pelabuhan dan kastam serta pekerja penyelenggaraan dan pengurusnya, kata Akiki.

Kenyataan itu hadir ketika seorang pegawai mengesahkan kepada AFP bahawa bank pusat telah memerintahkan pembekuan aset untuk tujuh pegawai pelabuhan dan kastam, termasuk Badri Daher, ketua pengarah pihak berkuasa kastam Lubnan.

Pegawai itu memberitahu demikian dengan syarat identitinya tidak didedahkan kerana dia tidak diberi kuasa untuk bercakap mengenai isu terbabit.

Sumber perbankan mengesahkan kepada AFP bahawa semua bank perdagangan negara itu menerima arahan itu, yang juga menghilangkan kerahsiaan perbankan dari akaun yang dimiliki atau dikaitkan dengan mereka yang disoal siasat.

Walaupun mereka sibuk menghitung jumlah kematian dan membersihkan jalan yang berselerak dengan serpihan, ramai rakyat Lubnan marah dengan kejadian letupan itu yang mereka lihat sebagai ungkapan paling mengejutkan mengenai ketidakcekapan pemimpin mereka.

Ramai yang mengemukakan persoalan mengenai bagaimana muatan bahan letupan yang begitu besar boleh dibiarkan selama bertahun-tahun.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang mengunjungi Lubnan semalam, meminta siasatan antarabangsa, menyetujui tuntutan yang disokong secara meluas di Lubnan dan luar negara supaya diadakan siasatan bebas. – AFP