PARIT BUNTAR, 28 Dis — Sawah padi seluas 160 hektar di Kompatment A, B dan C di Tanjung  Piandang dan Kuala Kurau dalam Daerah Kerian di sini terjejas akibat serangan bena perang mengakibatkan 68 petani mengalami kerugian sebanyak RM192,000.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria berkata selain bena perang, kira-kira 150 hektar kawasan terlibat turut diserang serangga kesing manakala 80 hektar lagi mengalami penyakit reput perang seludang.

“Serangan serangga dan penyakit ini menyebabkan hasil padi terjejas. Kita tidak menolak serangan penyakit akibat penggunaan benih padi yang tidak sah oleh petani,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sawah yang terjejas dengan serangan bena perang di Parit Haji Ali dan Pusat Pembelian Padi di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Piandang di sini, hari ini.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gunung Semanggol berkata pihak Jabatan Pertanian telah meminta petani supaya membuat semburan asap di kawasan padi berusia 80 hingga 85 hari sebagai langkah pengawalan serangga kesing dan bena perang.

“Petani tidak digalakkan menggunakan racun pada usia padi 90 hingga 105 hari kerana racun akan masuk ke dalam padi seterusnya menyebabkan risiko racun dalam beras,” Katanya. 

Mengenai pemotongan harga belian padi pada musim ini, Razman berkata kadar potongan masih rendah iaitu antara 23 hingga 26 peratus, namun tidak menolak kemungkinan ia akan bertambah jika serangan kesing dan bena perang gagal ditangani sehingga menjejaskan kualiti hasil. 

Katanya kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan untuk memberi bantuan menerusi Tabung Bencana kepada petani Kerian yang terjejas dengan bena perang.

— BERNAMA