IPOH – 165 kakitangan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) melafazkan ikrar dan akuan tidak membocorkan maklumat atau dokumen yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 di sini, pada Rabu.

Ia sekali gus menjadikan MB Inc. antara agensi di negeri ini yang menyahut seruan Kerajaan Persekutuan dengan mengambil inisiatif melafaz dan akuan dari kakitangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminudin Hashim berkata, ikrar dan akuan itu dibuat sebagai langkah pencegahan serta berjaga-jaga bagi memastikan segala dokumen sensitif atau rahsia rasmi perbadanan itu dipelihara daripada dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita mahu kakitangan supaya jangan mengambil mudah perkara begini, walaupun kadang-kadang kita berkongsi maklumat atau dokumen penting melalui Whatsapp.

“Pada kita, maklumat yang ada mungkin tiada makna bagi kita, tetapi tidak pada orang lain, yang mahukannya (maklumat) untuk kepentingan diri boleh buat macam-macam dengan dokumen atau rahsia berkenaan.

“Mungkin individu itu sendiri merasakan impaknya tidak besar, tetapi ianya melibatkan kepercayaan masyarakat dan tempat beliau mencari rezeki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Melafaz dan Akuan Akta Rahsia Rasmi 1972 dengan kerjasama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia Negeri Perak di sini hari ini.

Tambah beliau, setiap penjawat dalam badan berkanun harus memegang amanah serta mengekalkan integriti dalam diri masing-masing dan segala rahsia kerajaan perlu disimpan dengan sebaik mungkin khususnya daripada pengetahuan pihak luar.

 

Dalam majlis itu juga, kesemua kakitangan turut diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia Negeri Perak, Norazmi Abdullah, mengenai prosedur pengurusan rahsia rasmi.

“Kita mahu memberi kefahaman mengenai prosedur pengurusan rahsia rasmi selaras dengan Peruntukan Akta Rahsia Rasmi (Pindaan) 1986 dan memupuk sikap tanggungjawab di dalam menguruskan akta terbabit.

“Alhamdulillah setakat ini tidak berlaku perkara begini di dalam MB Inc namun ia tetap penting untuk kita memberi penekanan,” ujar Aminudin.