JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan 17 kontraktor bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu.

Suspek berusia 30-an hingga 60-an itu membabitkan 12 lelaki dan lima wanita daripada beberapa syarikat ditahan di Pejabat SPRM Johor pada jam 12 tengah hari.

Siasatan awal mendapati semua suspek membuat tuntutan palsu berkaitan penganjuran Program Liga Sukan Untuk Semua Daerah di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang, dan Kota Tinggi bagi tahun 2015.

Difahamkan, walaupun tuntutan dibuat, sebenarnya program berkenaan tidak dilaksanakan.

Jumlah keseluruhan tuntutan palsu melebihi RM90,000.

Sumber memberitahu siasatan masih dijalankan bagi mengesan sama ada penjawat awam turut terbabit dalam kes itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi serta penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok bagi permohonan reman – berita harian