KUALA LUMPUR: Seramai 17 menteri dan 10 timbalan menteri mempertahankan kerusi masing-masing, termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehingga jam 1.45 pagi tadi, keputusan mengesahkan Ahmad Zahid mempertahankan kerusi Bagan Datuk, Perak untuk penggal keenam. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Datuk Seri Mustapa Mohamed menang kerusi Parlimen Jeli, Kelantan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mengekalkan kerusi di Tanjong Karang, Selangor, manakala Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, mempertahankan kerusi Putrajaya.

Dua menteri dari Sarawak iaitu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menang di Santubong, Sarawak, dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mempertahankan kerusi Petrajaya, Sarawak.

Turut menang, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera, Pahang); Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (Serian, Sarawak) serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (Batang Lupar, Sarawak).

Selain itu, yang turut mengekalkan kerusi disandang adalah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas, Perak) dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut, Perak).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mempertahankan kerusi Parlimen Arau, Perlis manakala, penyandang kerusi Parlimen Batang Sadong, Sarawak, Datuk Seri Nancy Shukri, mempertahankan kerusi berkenaan. Pada PRU-13, Nancy menang dengan 11,260 undi.

Penyandang kerusi Pengerang yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pula mempertahankan kerusi disandangnya dengan 21,829 undi.

Turut mempertahankan kerusi disandang adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam, Perak) dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap, Kedah) serta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Senarai Jemaah Menteri yang mempertahankan kerusi masing-masing adalah Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah, Melaka) dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong, mempertahankan kerusi Lawas, Sarawak.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menang di Kepala Batas, Pulau Pinang dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi mempertahankan kerusi Kapit, Sarawak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Anak Kujat menang dengan 14,141 undi di kerusi Sri Aman, Sarawak dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (Balik Pulau, Pulau Pinang).

Turut menang ialah Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique yang bertukar kerusi ke Parlimen Kota Tinggi, Johor.

Begitu juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Maran, Pahang dengan 16,064 undi, manakala Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menang di Pasir Salak, Perak.

Daripada 66 menteri, hanya 64 yang bertanding semula pada PRU-14. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari digugurkan, manakala Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr James Dawos Mamit tidak bertanding.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding di Rantau.

Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Datuk Seri Adnan Yaakob turut berada dalam Pengerusi BN Negeri yang menang, mengiringi Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Menteri Besar Perlis, Azlan Man menang di Bintong, Perlis dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menang di Sungai Udang, Melaka, manakala Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berjaya kekal di Sungai Sibuga, Sabah.

Dua pengerusi BN Negeri yang tewas ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin – berita – berita harian

BERITA BERKENAANMajlis Angkat Sumpah PM Ditangguhkan