BINTULU: Sebanyak 17 premis perniagaan dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik di daerah ini semalam, termasuk Kidurong selepas didapati menjalankan kegiatan perjudian haram.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata operasi bermula jam 9 pagi hingga 1 petang itu turut mendapat kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Tindakan dilaksanakan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bertujuan mengekang kegiatan perjudian haram, terutama secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili. – Arkib NSTP

Beliau turut memberi amaran keras kepada setiap pemilik premis perniagaan supaya tidak menyalahgunakan lesen niaga mereka bagi menjalankan kegiatan haram berkenaan.

“Kita juga berharap orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui sebarang kegiatan judi haram di persekitaran mereka,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 – berita harian