IPOH: Polis Perak menahan 171 orang kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri ini sehingga semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, sebanyak 85 kertas siasatan telah dibuka di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menurutnya, polis turut memastikan langkah-langkah pencegahan daripada jangkitan COVID-19 ini dipatuhi oleh masyarakat termasuk mengamalkan penjarakan sosial ketika menjalankan urusan di pasar awam dan institusi kewangan.

“Masyarakat dinasihatkan untuk mematuhi PKP dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan daripada dijangkiti COVID-19,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook Polis Perak hari ini.

Razarudin berkata, seramai 5,640 anggota polis terlibat dalam 74 sekatan jalan raya setiap hari di seluruh Perak, termasuk di sempadan negeri dan jalan keluar masuk tol.

Di samping itu, katanya, terdapat 230 pasukan pemeriksaan mengejut telah ditugaskan melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap pematuhan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sepanjang tempoh itu juga, kes jenayah di Perak menurun 58 kes atau 41.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.