IPOH: Seramai 173 pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerima surat anugerah perkhidmatan cemerlang 2016 yang disampaikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man di sini pada Khamis.

Zamri berkata, pemilihan mereka telah dibuat secara teliti hasil pemantauan dan penelitian yang dibuat ke atas lebih 2,000 kakitangan MBI.

Sambil mengucapkan syabas kepada penerima, beliau memberitahu, majlis penyerahan rasmi akan dilakukan pada Mei ini di salah sebuah hotel terkemuka di bandaraya ini.

“Selain menerima sijil, mereka juga akan diberikan saguhati RM1,000 setiap seorang sebagai penghargaan kepada perkhidmatan cemerlang sepanjang tahun lalu,” katanya ketika berucap di majlis itu.

Datuk Bandar berharap, dengan penganugerahan itu, akan meningkatkan motivasi mereka untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik, di samping turut menjadi pendorong kepada kakitangan lain.