IPOH: Seramai 18 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Kampung Piandang, Seputeh sehingga jam 8 padi Jumaat apabila rumah mereka dilanda banjir kilat selepas hujan lebat petang Khamis.

Mereka terdiri daripada lapan perempuan dewasa dan 10 kanak-kanak.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, banjir telah mula surut dan semua mangsa akan dibenarkan pulang setelah tugas pasca banjir selesai.

“Keseluruhan Daerah Kinta selamat dan terkawal, pihak Sekretariat JPBBD Kinta akan melaporkan situasi dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beberapa buah rumah di Kampung Piandang dilanda banjir kilat jam 7 malam semalam disebabkan parit di kawasan berkenaan tidak dapat menampung air hujan lebat.

Kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan oleh penduduk dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa agensi lain, sebelum semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.