IPOH : Seramai 18,600 perokok berjaya berhenti merokok menerusi program Klinik Berhenti Merokok yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata sambutan terhadap program menunjukkan peningkatan ketara sebaik penguatkuasaan larangan merokok diperluaskan.

“Kalau kita melihat, sebaik sahaja kita mengumumkan usaha untuk memperluaskan larangan merokok tahun lalu, ada peningkatan yang ketara (perokok menyertai program di klinik).

“Jadi, kita berharap untuk tahun ini jumlah itu akan lagi meningkat, kita sudah memberikan peruntukan yang lebih untuk program berhenti rokok pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penyerahan Alat Perubatan LEGA kepada Klinik Kesihatan Gunung Rapat di Jalan Gopeng, Gunung Rapat di sini, hari ini.

Dr Lee berkata, melalui bayaran RM1 melalui program Klinik Berhenti Merokok itu perokok akan mendapat rundingan dari pakar yang akan membantu mereka berhenti dari tabiat itu.

“Kalau hendak (cuba) berhenti merokok boleh pergi ke klinik kesihatan dan kalau tidak boleh dan susah untuk berhenti merokok jangan merokok di restoran dan di hadapan orang lain,” katanya.

Memetik laporan media sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, dalam tempoh 24 jam pertama operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT) dilakukan di seluruh negara, mendapati bilangan individu yang merokok masih tinggi, dengan 10 peratus berbuat demikian di premis yang dilawati.

Dr Noor Hisham dipetik berkata, berikutan itu sebanyak 605 notis dengan nilai kompaun RM144,450 dikeluarkan, membuktikan masih ramai masyarakat Malaysia, yang tidak peka dengan larangan merokok yang berkuat kuasa 1 Januari.