IPOH: Taktik 19 wanita warga asing disyaki pelayan pelanggan (GRO) bersembunyi di laluan rahsia untuk meloloskan diri, gagal apabila ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Persiaran Greentown di sini, awal pagi tadi.

Mereka ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun hasil operasi bermula jam 1.30 pagi dan berakhir dua jam kemudian.

Dua lelaki meliputi seorang warga Bangladesh disyaki penjaga premis, turut ditahan.

Serbuan membabitkan lapan pegawai dan 34 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Laluan rahsia untuk meloloskan diri oleh wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Persiaran Greentown awal pagi tadi. – Foto Farah Suhaidah Othman
Pegawai Turus D7 negeri, Deputi Superintenden Mohd Shajidan Abd Shukor, berkata dalam serbuan itu, 10 wanita warga Vietnam, masing-masing empat warga Thailand dan Indonesia, serta seorang China, ditemui bersembunyi di laluan rahsia.

“Semua disyaki GRO berkenaan cuba meloloskan diri melalui lorong tikus itu, namun tindakan pantas polis menutup pintu rahsia menerusi risikan sebulan lalu, berjaya menggagalkannya.

“Siasatan awal mendapati ada antara mereka memiliki dokumen perjalanan tetapi tiada permit kerja yang sah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Shajidan berkata, dalam serbuan sama, polis turut menahan masing-masing sembilan lelaki dan wanita tempatan di sebuah bilik disyaki menjalankan kegiatan judi haram menggunakan daun terup.

Katanya, polis juga merampas wang tunai berjumlah RM738 dipercayai hasil kegiatan itu.

“Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an turut ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah, iaitu ketamin, ekstasi dan ganja,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sebuah premis hiburan di Jalan Datoh di sini, beliau berkata, polis menahan lima wanita warga Vietnam disyaki GRO dan lima lelaki tempatan serta seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai penjaga premis.

Katanya, semua yang ditahan dalam dua serbuan itu dibawa ke IPK negeri bagi siasatan lanjut – berita harian