KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 pasukan yang bertanding dalam Liga M3 pada musim ini sudah menyatakan hasrat untuk kekal bertanding pada musim depan yang dijadualkan bermula Mac tahun depan.

Mengesahkan perkembangan itu, Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata Liga M3 dan Liga M4 akan distruktur semula yang membabitkan pindaan format dan sistem pertandingan secara menyeluruh di semua peringkat.

Format terbaharu divisyen ketiga itu akan membenarkan sebanyak 24 pasukan bertanding pada musim 2021 berbanding 20 bagi musim 2020 yang dibatalkan selepas dua pusingan susulan pandemik COVID-19.

“Untuk itu, slot tambahan juga akan dibuka kepada pasukan baharu menerusi kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Negeri (PBN). Pengesahan pasukan yang akan bertanding dalam Liga M3 2021 hanya akan dibuat setelah semua dokumentasi disaring sepenuhnya.

“Proses saringan ini perlu bagi mengenal pasti pasukan-pasukan terbaik dan kompetitif sekali gus menjadi langkah persediaan bagi menyiapkan mereka (pasukan) ke arah semi pro,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mohd Yusoff berkata antara kriteria dalam Garis Panduan Kelayakan Pasukan Liga yang perlu dipenuhi oleh pasukan baharu ialah pemilikan pasukan, butiran lengkap kewangan pasukan dan lain-lain.

Antara pasukan musim ini yang sudah menyatakan hasrat untuk bertanding ialah Armed Forces FC, Manjung City FC, Langkawi City FC dan NLFC-Mahsa.

– BERNAMA