IPOH: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak hari ini mengisytiharkan keluar dari parti masing-masing dan memilih untuk menjadi Adun Bebas.

Tiga Adun itu ialah Adun Tronoh (DAP), Yong Choo Kiong, Adun Titi Serong (Amanah), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Adun Buntong (DAP), A.Sivasubramaniam.

Ketiga-tiga mereka membuat pengumuman itu sejurus selepas sidang media khas oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini yang memberitahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Umno dan Pas negeri Perak bersetuju untuk membentuk sebuah gabungan baru.

Choo Kiong menjelaskan tindakan itu dibuat bukan atas dasar kepentingan politik peribadi namun untuk memastikan hak rakyat di kawasan masing-masing terbela dan tidak terpinggir di bawah pembangkang.

“Saya nampak dengan terbentuknya Perikatan Nasional ini adalah tidak begitu sempurna dengan tidak ada kehadiran wakil rakyat dari kaum India dan Cina.

“Maka atas permainan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah jatuh dan hak rakyat akan dipinggirkan, akhirnya rakyat di negeri Perak yang pilih PH sudah menjadi mangsa.

“Atas sebab itu kita buat keputusan untuk keluar parti dan kita akan sokong Menteri Besar supaya hak rakyat di kawasan masing-masing dan Perak amnya dapat dipelihara,” katanya dalam sidang media pada Isnin.

Choo Kiong mendakwa, dia juga telah bertemu dan berbincang secara bersemuka dengan Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun dan Adun Chenderiang itu sebelum sidang media khas hari ini.

Katanya lagi, walaupun desas desus mengatakan Ahmad Faizal bakal menganggotai kabinet, namun dia yakin jawatan Menteri Besar tetap akan dipegang oleh Adun Chenderiang itu.