JOHOR BAHRU: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merancang melakukan satu perbuatan pengganas membabitkan serangan terhadap sebuah bangunan, antara 11 Disember 2017 hingga 31 Januari lalu.

Tertuduh, Nik Muhamad Zaini Nik Hassan, 37, dan Ismadi Md Nor @ Ismail, 30, didakwa dengan niat bersama melakukan perbuatan itu terhadap bangunan beralamat No 1, Jalan Abu Bakar di sini.

Bagi pertuduhan membuat perancangan itu di sebuah kedai makan di Jalan Kemboja, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di sini, mereka didakwa mengikut Seksyen 130JD(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang masing-masing bekerja sebagai juruteknik dan pengawal keselamatan, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Di mahkamah sama, turut didakwa seorang lagi pengawal keselamatan, Mohd Zaki Ibrahim, 49, atas pertuduhan memiliki video berkaitan kumpulan Daesh masing-masing dalam sebuah telefon bimbit dan tablet.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik pengawal pencawang elektrik di Jalan Permas 3/4, Bandar Baru Permas Jaya, Masai di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari 27 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 130JB(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana barangan itu, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Kamarudin.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor, tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh kerana membabitkan kesalahan keselamatan dan dipersetujui hakim.

Kamarudin kemudian menetapkan 26 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan laporan pakar berkaitan keganasan.

Kesemua tertuduh berkenaan tidak diwakili peguam – berita harian