KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua lagi kluster Covid-19 di Selangor dan Kedah.

Dua kluster baharu itu adalah Kluster MV Glen dikenalpasti di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, Selangor dan Kluster Telaga di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kluster kapal MV Glen, kes indeks merupakan kes ke-9286 yang dilaporkan positif pada 25 Ogos lalu yang mana seorang krew kapal dikesan positif Covid-19 sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan diberi rawatan.

“Saringan Covid-19 dijalankan dan sehingga 30 Ogos 2020, sejumlah lapan orang telah disaring dalam kluster ini dan dua daripadanya dikesan positif manakala enam individu adalah negatif.

Kes indeks bagi kluster ini merupakan kes import yang melibatkan satu bukan warganegara manakala kes kedua merupakan kes tempatan yang melibatkan satu warganegara Malaysia yang merupakan agen yang dilantik oleh syarikat perkapalan.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat masih dijalankan sementara langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut manakala punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Telaga, Noor Hisham berkata, kes merupakan kontak rapat kepada kes indeks yang dikesan positif pada 24 Ogos 2020 (kes ke-9284).

Menurut beliau, kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk diberi rawatan dan kedua-dua kes adalah petugas kesihatan di hospital tersebut namun tugasan tidak melibatkan jagaan kes yang disahkan positif Covid-19.

“Sehingga 30 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 374 orang telah disaring dalam kluster ini melibatkan ahli keluarga, kakitangan hospital dan lain-lain.

“Daripada jumlah ini, dua kes dikesan positif Covid-19; dan 372 individu adalah negatif.

“Sebagai langkah kawalan, lebih banyak saringan tertumpu di hospital akan dijalankan sementara langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti pembersihan dan proses nyah kuman juga telah dijalankan di premis yang berkaitan tetapi perkhidmatan Hospital Sultanah Bahiyah tidak terjejas dan tetap berjalan seperti biasa,” ujar beliau.

Kata Noor Hisham, punca jangkitan masih dalam siasatan namun besar kemungkinanianya disyaki berpunca dari kalangan komuniti. – MalaysiaGazette