BAGAN SERAI: Dua penunggang motosikal maut, manakala seorang pemandu kereta parah dalam kemalangan di Kilometer 105 Jalan Ipoh-Butterworth berhampiran Masjid Tinggi di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata kejadian pada jam 9.45 malam itu membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta.

Katanya, Abdul Wahid Shahrudin, 25, maut di lokasi kejadian, sementara K Punithan, 21, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Taiping pada jam 12.30 tengah malam.

Beliau berkata, pemandu kereta berusia 21 tahun pula mengalami kecederaan parah dengan patah kaki kanan dan luka di kepala.

“Punca sebenar kemalangan masih belum dikenal pasti kerana tiada saksi bebas yang melihat kejadian itu dan lokasi terbabit juga tiada kamera litar tertutup (CCTV).

“Bagaimanapun menurut pemandu terbabit, dia dalam perjalanan dari Taiping ke Bagan Serai sebelum menyedari ada satu objek di laluannya dan mendakwa cuba mengelak, namun terbabas dan merempuh tembok batu penghadang paip di kiri jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, polis masih menjalankan siasatan dan meminta kerjasama orang awam atau saksi kejadian itu agar tampil menyalurkan maklumat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya