LIMBANG: Dua remaja maut selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung dalam kejadian di Simpang Ranggau, Jalan Airport, di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu berlaku ketika Mohammad Azlan Abdul Hamid, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dalam perjalanan dari arah bandar ke Lapangan Terbang Limbang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, setibanya di lokasi, Mohammad Azlan gagal mengelak motosikal jenis Yamaha LC 135 yang ditunggang Harreild Hellvian Hary, 16, yang tiba-tiba keluar dari simpang.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, Kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan motosikal mereka remuk teruk.

“Mangsa pertama iaitu Mohamad Azlan yang mengalami kecederaan parah di kepala dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Limbang, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 11.30 malam.

“Harreild Hellvian yang turut mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan pula disahkan meninggal dunia di hospital sama pada jam 3.45 pagi tadi,” katanya.

Alexson berkata, ketika kejadian keadaan cuaca baik dan permukaan jalan pula kering.

“Kes itu masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – berita harian