BUTTERWORTH: Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka bersama seorang lagi pembonceng dan dipandu melawan arus, merempuh sebuah kereta di Jalan Bagan Lalang di sini, jam 3 pagi tadi.

Dalam kemalangan itu, mangsa dikenali sebagai Vinod, 24, bersama rakannya, R Tamillarasan, 22, yang membonceng motosikal itu maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala serta badan, manakala seorang lagi rakannya, Y Logaraj, 21, yang juga pembonceng kedua cedera di kaki.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kemalangan berlaku ketika sebuah kereta dinaiki dua wanita dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Permatang Pauh menghala Jalan Bagan Lalang.

Beliau berkata, tiga lelaki yang membonceng motosikal terbabit datang dari sebuah kelab malam di Taman Mesra Jaya dan dalam perjalanan ke rumah mereka di Ampang Jajar, di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki tiga lelaki berkenaan memasuki laluan kereta dinaiki dua wanita berkenaan sebelum dua kenderaan itu bertembung.

“Akibat rempuhan itu, tiga lelaki berkenaan tercampak dan dua daripadanya mati di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan,” katanya.

Noorzainy berkata, pemandu dan penumpang kereta juga cedera di dada dan bahagian badan kesan rempuhan.

“Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat dihantar ke bilik mayat hospital sama untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – berita harian