PARIT: Polis menjalankan siasatan berhubung kematian 20 ekor lembu di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Tareh, Lambor Kanan dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu daripada seorang penternak yang mendapat maklumat itu daripada kawannya, kira-kira jam 10 pagi.

Penternak itu yang tinggal di Kampung Talang, Lambor Kanan kemudiannya ke lokasi kejadian pada 2 petanc dan mendapati sebanyak 20 ekor lembu telah mati bergelimpangan di ladang tersebut dalam keadaan mulut berbuih dan keluar darah melalui hidung.

“Pemeriksaan yang pengadu jalankan mendapati 19 ekor lembu adalah kepunyaannya manakala seekor lagi belum dapat dipastikan tuan punya.

“Tempat kejadian adalah ladang hak milik persendirian seluas empat ekar yang baharu ditanam dengan anak pokok kelapa sawit pada April 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Barudin berkata, pihaknya telah mengambil gambar di lokasi kejadian dan memaklumkannya kepada pihak Jabatan Veterinar yang turut akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian lembu-lembu tersebut.

Menurutnya, pengadu menternak sebanyak 200 ekor lembu secara lepas bebas dan kerugian dianggarkan RM 55,000.

“Siasatan lanjut bersama Jabatan Veterinar masih diteruskan bagi mengenalpasti punca kematian samada disebabkan perbuatan khianat, penyakit atau sebab-sebab lain,” ujarnya.

Kes disiasat dibawah Sek 428 Kanun Keseksaan iaitu Khianat dengan membunuh atau mencacatkan sesekor haiwan.