IPOH: Kira-kira 20 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyatakan persetujuan untuk menyertai Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (MAPEM) Perak yang diaktifkan semula tahun ini.

 

Antara NGO itu ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Perak (DPPM) Perak yang bertindak sebagai urusetia, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Perak, PERDASAMA Perak, Persatuan Homestay Perak, Persatuan Kontraktor Elektrik Melayu Melayu Perak, Persatuan Peniaga Food Truck Perak.

 

Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia Negeri Perak, Persatuan Penjaja Melayu PERKASA, Persatuan Usahawan Belia TUBE SME Corp, Persatuan Usahawan Spa Perak, USAHANITA Perak, Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah dan Komuniti Ipoh Halal Food.

 

Yang Dipertua DPPM Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, majlis itu akan memperjuangkan matlamat untuk meningkatkan ekonomi usahawan Melayu di negeri ini secara bersama.

 

“Selama ini rata-rata NGO bergerak secara sendirian, tetapi selepas ini, mereka akan bergerak melalui MAPEM dengan kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mencapai matlamat bersama,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama majlis itu di sini pada Rabu.

 

Menurut beliau, MAPEM akan memberi fokus kepada bidang yang usahawan Melayu mempunyai kekuatan seperti makanan halal, pelancongan agro, industri kecil dan sederhana (IKS), spa dan penjagaan kanak-kanan serta teknologi maklumat.

 

Beliau yakin MAPEM mampu menjadi platform untuk memperjuangkan ekonomi usahawan Melayu dengan kerjaama semua pihak, termasuk kerajaan, agensi awam dan swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

“Kita akan mewujudkan jaringan dengan ahli-ahli NGO di bawah MAPEM di samping mewujudkan pengkalan data yang boleh digunakan untuk merangka aktiviti yang berkaitan,” tambah beliau.

 

Muhiyuddin memberitahu, selain daripada itu, MAPEM juga akan mendapatkan khidmat nasihat daripada beberapa tokoh serta usahawan berjaya seperti Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, Prof Tan Sri Nordin Kardi, Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia – Italy, Datin Paduka Halimah Abdullah, formulator Dunita Global, Dr Wan Mahani Zainal Abidin dan UiTM.

 

Dalam masa sama, ujar beliau, majlis itu juga akan membantu kerajaan negeri untuk membawa pelabur ke negeri ini, misalnya dari Itali dalam sektor pertanian, kilang basikal, jubin dan minuman.

Menurut Muhiyuddin, pihaknya juga akan mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa bersama antara MAPEM dan wakil-wakil kerajaan negeri, seperti Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) yang telah ditubuhkan.