SANDAKAN: Sekurang-kurangnya 20 rumah terbakar di Kampung Singki, Tanah Merah, di sini, awal pagi tadi.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu.

Difahamkan, kebakaran bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat berikutan kedudukan rumah yang rapat dan diperbuat daripada kayu.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan, Anddre Andrew, berkata bomba menerima panggilan pada jam 1.13 pagi sebelum menghantar 10 anggota bersama dua jentera ke lokasi.

Katanya, semua rumah dalam keluasan 0.4 hektar itu terbakar sepenuhnya.

“Operasi memadam kebakaran tamat pada jam 4.45 pagi. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya¬† – berita harian