KUALA LUMPUR: Sebanyak 49 kertas siasatan dibuka Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran berita palsu sepanjang musim Pilihan Raya Umum K-14 (PRU14).

SKMM dalam kenyataan kepada NSTP, berkata angka itu dicatatkan hanya dalam tempoh kurang sebulan, iaitu dari April hingga semalam.

Katanya, dalam tempoh sama juga, lebih 200 berita palsu, termasuk berkaitan pilihan raya yang tersebar luas di Internet dan platform media sosial dikesan.

“Gerak kerja SKMM dipergiatkan sepanjang tempoh menjelang PRU14 berikutan terdapat peningkatan kegiatan menyebarkan berita palsu sejak awal April lalu, iaitu sebelum pembubaran parlimen lagi.

“Ini dapat dilihat menerusi peningkatan sebanyak 72 peratus laporan dan aduan awam,” katanya.

Selain itu, SKMM katanya turut mempertingkatkan kerjasama dengan pengendali platform media sosial dan hasilnya berjaya mengesan 1,157 akaun media sosial palsu.

“Tindakan turut diambil terhadap pautan berita palsu yang dikesan SKMM dan dilaporkan orang awam.

“Sebanyak 159 kandungan berita palsu yang dikesan turut dirujuk kepada pengendali media sosial dan diberhentikan penyebarannya, selaras terma dan syarat platform terbabit,” katanya.

SKMM berkata, pihaknya sentiasa mempertingkatkan usaha untuk mengekang penularan aktiviti tidak sihat itu, termasuk mengadakan aktiviti kesedaran bersama masyarakat dengan lebih 200 program dilaksanakan sepanjang tahun ini.

“Langkah ini turut merangkumi pelaksanaan lebih 50 program bersama media yang berperanan untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai akan bahaya penyebaran berita palsu,” katanya – berita harian

BERITA BERKENAANKeputusan Penuh Dijangka Jam 10 Malam