BAGAN DATUK: Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini cukup bermakna bagi 200 pelajar sekolah di Bagan Datuk apabila mereka menerima sumbangan daripada Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI).

Penyampaian sumbangan itu yang diadakan pada Jumaat, merupakan sebahagian daripada program Permukiman Menteri Besar di daerah Bagan Datuk.

Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli bersama penyelaras BAIDURI setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bergerak ke beberapa lokasi untuk menyerahkan sumbangan

Ibu bapa dan guru-guru bersama-sama mengiringi anak-anak dan pelajar di program tersebut.

Di Dewan SJKC Yeong Seng, rombongan menyampaikan sumbangan angpau kepada 105 pelajar dari lima buah sekolah iaitu SJKC Yeong Seng, SJKC Keow Min, SJKC Pooi Seng, SJKC Pooi Ang dan SJKC Bagan Pasir Laut.

Pada lokasi kedua di SJKC Simpang Tiga pula, BAIDURI menyerahkan sumbangan kepada 95 pelajar dari SJKC Simpang Tiga, SJKC Hwa Nan, SJKC Sin Min, SJKC Chong San, SJKC Yee Hwa dan SJKC Hua Hsia.

Walaupun program itu berjalan dalam masa yang singkat, namun misi BAIDURI untuk mendekati para pelajar, ibu bapa dan warga pendidik tercapai.