KUALA LUMPUR : Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini menyaksikan calon wanita turut tidak ketinggalan menghantar borang pencalonan yang mana seramai 210 calon mewakili pelbagai parti politik bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohamad Hashim Abdullah, berkata daripada jumlah itu, seramai 150 calon bertanding di DUN manakala 60 calon bertanding di kerusi Parlimen.

Berdasarkan kepada jumlah pencalonan itu, seramai 85 calon adalah wanita BN yang mana daripada jumlah berkenaan, seramai 26 calon BN bertanding merebut kerusi Parlimen, manakala 59 lagi kerusi DUN.

Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat tidak bertanding pada PRU kali ini tetapi BN meletakkan Naib Presiden MCA , Datin Paduka Chew Mei Fun, mengetuai senarai calon wanita parti itu.

Mei Fun bertanding di Parlimen Raub dan beliau bakal dicabar calon PKR, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri dan Dr Mohamed Nilam Abdul Manaf manakala Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy akan bertanding di kerusi Kapar dan beliau bakal menentang Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dari PKR dan Dr Abdul Rani

Osman calon PAS.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Emieryati Samsudin kekal bertanding di Parlimen Masjid Tanah manakala wakil MCA di Seputeh, Chan Quin Er, 31 menjadi calon paling muda wanita BN.

Jumlah calon wanita BN itu menunjukkan peningkatan 57.6 peratus atau 49 calon baharu dan 36 calon bertanding mempertahankan kerusi mereka.

Sebanyak 52 kerusi akan dipertandingkan oleh calon Wanita dan Puteri UMNO, manakala selebihnya daripada MCA, MIC, GERAKAN, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Sementara itu, seramai 10 calon wanita PAS bertanding kerusi Parlimen dan 27 orang bertanding di DUN dengan Ketua Muslimat PAS, Nuridah Salleh bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh manakala wakil tunggal PAS di Parlimen, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, kekal bertanding di parlimen berkenaan.

PKR tidak menyatakan jumlah calonnya dalam kalangan wanita tetapi Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin menyatakan kesukaran parti itu memenuhi kuota 30 peratus calon wanita.

Beliau sendiri kekal mempertahankan Parlimen Ampang manakala Presiden PKR sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bertukar kawasan Parlimen daripada Permatang Pauh ke Pandan, manakala anak beliau Nurul Izzah Anwar, menggantikan beliau di Permatang Pauh.

DAP pula tidak menyebut jumlah sebenar calon wanita mereka tetapi mengumumkan enam akan bertanding di Johor manakala wanita muda Melayu yang ditampilkan DAP termasuklah Young Syefura Othman atau lebih popular dengan panggilan Rara, bakal bertanding di DUN Ketari, Pahang, berusia 28 tahun

Seorang lagi calon muda DAP di Selangor, Michelle Ng, 28, bertanding di DUN Subang Jaya – berita harian