JIKA keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan dominasi pakatan menerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), lain pula di Terengganu apabila 23 kerusi ditandinginya hilang deposit pertaruhan.

Daripada jumlah itu, 19 calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga calon kerusi Parlimen hilang wang pertaruhan selepas mendapat undi kurang satu per lapan daripada jumlah undi calon menang.

Bagaimanapun, Parlimen Kemaman dan empat DUN di bawahnya menjadi satu-satunya kawasan ditandingi PKR yang tidak hilang wang pertaruhan.

Tiga calon Parlimen daripada PKR iaitu Razali Idris (Hulu Terengganu); Zarawi Sulong (Marang) dan Abdullah Mohamed (Kuala Nerus) hilang wang pertaruhan.

Razali hanya memperoleh 3,364 undi; manakala Zarawi (5,138) dan Abdullah (4,604).

Dua puluh kerusi yang hilang wang pertaruhan dengan jumlah undi bawah 1,000 ialah calon Hulu Besut, Ismail Abdul Kadir dengan 860 undi; Abd Rahman@Abdul Aziz Abas (Jabi/690); Wan Mokhtar Wan Ibrahim (Permaisuri/853) dan Mustaffa Abdullah (Langkap/583) dan Zamani Mamat (Ajil/679).

Selain itu, Amir Long (Batu Rakit/800); Azik Chik (Buluh Gading/894); Fatimah Lailati Omar (Bukit Tunggal/721); Zarawi Sulong (Ru Rendang/729); Sharifaf Norhayati Syed Omar (Telemung/455); Mohd Hafizuddin Hussain (Manir/422); Mohamad Arif Arifin (Bukit Besi/487) dan Mohammad Padeli Jusoh (Rantau Abang/939).

Calon PKR yang memperoleh undi melebihi 1,000 dan hilang wang pertaruhan ialah Che Ku Hashim Che Ku Mat (Kuala Besut/1095); Tengku Roslan Tengku Othman@Tengku Ramli (Kota Putera/1504) dan Wan Hafizie Suzlie Wan Hassan (Tepuh/1002).

Selain itu, Mohd Zubir Mohamed (Wakaf Mempelam/1589); Ahmad Sabri Ali@Mamat (Alur Limbat/1492); Mohd Dalizan Abd Aziz (Bukit Payung/1004) dan Aidi Ahmad (Pengkalan Berangan/1145).

Keputusan PRU-14 malam tadi menyaksikan PAS Terengganu yang memenangi majoriti dua pertiga mengambil alih tampuk pemerintahan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

PAS memenangi 22 daripada keseluruhan 32 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen, manakala BN hanya mempertahankan 10 kerusi DUN dimenangi pada PRU-13 – hmetro