SELAMA – Polis Perak telah mengenal pasti 23 kawasan panas yang akan diberi perhatian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan berkata, pihaknya juga turut telah mengenal pasti seramai 440 individu yang dilihat mampu memberi ancaman kepada keamanan serta keselamatan orang ramai sepanjang tempoh pilihan raya nanti.

“23 kawasan memang dah dikenal pasti sebagai kawasan panas dan empat daripadanya merupakan paling panas yag mungkin berlaku kekecohan pada bila-bila masa sepanjang PRU-14.

“Daripada 440 individu yang dikenal pasti kira-kira 43 individu yang kebanyakannya merupakan penyokong sesebuah parti telah dikategorikan sebagai keutamaan kelas 1,” katanya pada satu sidang media di sini pada Khamis.

Justeru kata beliau bagi memastikan PRU-14 dapat dijalankan secara aman serta keselamatan orang ramai dapat dijamin pihaknya akan melakukan pemantauan teliti ke atas kawasan serta individu-individu berkenaan.

“kita akan kawal dan membuat pemantauan terhadap mereka berdasarkan kepada PRU lepas dan kegiatan mereka di dalam politik,” katanya.

Hasnan turut memberitahu sebanyak 90 peratus daripada 8,709 pegawai dan anggota polis di negeri itu akan ditugaskan bersama-sama 700 lagi pegawai tambahan daripada Bukit Aman sepanjang proses PRU-14

Beliau turut menasihatkan kepada bakal calon yang akan mengambil bahagian bertanding dan agennya supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada serta tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.