SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) Pahang sudah menjual sebanyak 231 borang penamaan calon sehingga semalam.

Pengarahnya Datuk Zamree Hamli berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 59 borang bagi kawasan Parlimen, manakala 172 borang lagi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selain parti politik yang mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) , sebanyak 17 borang dijual kepada calon yang akan bertanding atas tiket bebas dalam pilihan raya umum kali ini.

“Kita menjangkakan jumlah pembelian borang akan meningkat menjelang beberapa hari sebelum hari penamaan calon Sabtu ini, memandangkan masih ada lagi parti yang belum mengumumkan calon yang akan bertanding,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuantan, hari ini.

Ditanya mengenai persiapan SPR Pahang, Zamree berkata, pihaknya sudah bersedia sepenuhnya bagi mengharungi PRU14 membabitkan seramai 57 pegawai dan kakitangan ditugaskan sepanjang tempoh itu.

Selain itu, katanya, seramai 15,726 petugas pilihan raya termasuk daripada kakitangan jabatan dan agensi lain turut terbabit bertugas di pusat mengundi seluruh negeri .

“Kita turut menggunakan perkhidmatan helikopter bagi membawa peti undi dari kawasan pedalaman untuk proses pengiraan selepas selesai proses membuang undi, kawasan berkenaan adalah Cameron Highlands, Jerantut, Lipis dan Rompin.

“Kita jangkakan beberapa kawasan akan menjadi tumpuan dalam pilihan raya kali ini termasuk di Parlimen Bentong, Bera, Pekan, Temerloh dan Kuantan,” katanya.

Zamree juga menasihati pengundi supaya sentiasa maklum dengan sebarang notis daripada pejabat pengurus pilihan raya bagi tempoh masa pusat mengundi di kawasan parlimen masing-masing.

Seramai 823,981 pengundi direkodkan di negeri merangkumi 14 Parlimen dan 42 DUN, manakala seramai 21,358 pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan polis akan mengundi awal di 48 pusat mengundi -hmetro