Oleh:Nazialita Geynna Maharan

Lelaki Lemas Dihanyutkan Kepala Air

TAIPING: Seorang lelaki maut lemas setelah dipercayai dihanyutkan kepala air di Sungai Pecah Batu, Trong, dekat sini pada petang Ahad.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping berkata, pihaknya menerima maklumat sekitar 3.09 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa berusia 33 tahun itu difahamkan sedang mandi bersama dengan ahli keluarganya di dalam sungai berkenaan sebelum insiden berlaku.

“Mangsa bagaimanapun tidak sempat untuk naik ke tebing ketika kepala air menghampirinya dan dihanyutkan sepanjang satu kilometer dari lokasi.

“Operasi BBP Taiping kemudian menjumpai mangsa di celahan batu dan kayu yang hanyut sekitar pukul 4.40 petang dan mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir,”katanya dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Jelasnya, operasi memerlukan anggota BBP berpecah kepada tiga kumpulan untuk melaksanakan pencarian di sepanjang sungai berkenaan.

“Anggota BBP juga mengalami kesukaran untuk menarik mangsa yang berada di celahan batu berikutan air sungai yang deras dan terpaksa menggunakan tali dan pengusung untuk menaikkan mangsa ke tebing.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Jelasnya, operasi yang diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba, Hasna Rashid itu tamat sekitar 5.15 petang.