JOHOR BAHRU : Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini menegaskan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pakatan itu terus kekal bersama PH.

Dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi, PH turut mengambil maklum pelantikan Datuk Hasni Mohammad iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, sebagai Menteri Besar negeri itu yang ke-18.

“Kami berpandangan bahawa keadaan buntu ini akan menyukarkan urusan yang memerlukan kelulusan Dewan Negeri,” kata pakatan itu.

Bagaimanapun, ADUN PH akan terus berkhidmat kepada rakyat sesuai dengan mandat yang diberikan kepada pakatan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Terdahulu, Hasni, 61, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu di Istana Bukit Serene di sini petang tadi untuk menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hasni bakal memimpin kerajaan negeri Gabungan Baharu yang merangkumi BN, PAS dan Bersatu.- BERNAMA