IPOH: Seramai 29 penduduk membabitkan empat keluarga di Kampung Sri Kinta, Lahat di sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada Khamis.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, PPS di Dewan Orang Ramai Sri Kinta itu dibuka pada jam 2.30 pagi tadi susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Ipoh.

“Mangsa yang terlibat terdiri daripada empat keluarga meliputi enam lelaki dewasa, enam wanita, lapan kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan.

“Agensi yang terlibat dalam operasi itu seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis, bomba, JKM, MPKK, pihak kesihatan dan Rela,”katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, hujan lebat berterusan kira-kira 7 malam menyebabkan beberapa buah kampung di Daerah Kinta dilanda banjir kilat.

Hujan lebat menyebabkan air Sungai Pari tinggi dan air dalaman tidak dapat mengalir deras, lalu melimpah ke kawasan berhampiran.

Beberapa kawasan lain dilaporkan turut dinaiki air, termasuk di Ulu Chemor, Manjoi dan Menglembu dan Falim.