Langkawi: Eksesais Mencari dan Menyelamat (SAREX) sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 hari ini memfokuskan operasi menyelamat mangsa akibat nahas udara.

Latihan selama tiga jam mulai 9.30 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) itu diterajui bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Awam Penerbangan (DCA), selain 600 peserta mewakili 30 agensi kerajaan serta swasta.

Pengarah Operasi Markas Pemerintahan Operasi TUDM yang juga Ketua Pasukan Penilai Sarex, Kolonel Tong Veng Leong berkata, SAREX di LTAL itu memfokuskan kepada operasi menyelamat ratusan mangsa akibat nahas udara.

“Latihan ini bertujuan menilai keberkesanan pelan dan prosedur kecemasan, di samping menguji kemahiran koordinasi anggota terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat jika berlaku sebarang nahas udara berhampiran kawasan lapangan terbang.

“Kita mahu pasukan mencari dan penyelamat (SAR) berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk menghadapi kemungkinan, sekali gus memberi keyakinan kepada peserta luar negara sepanjang LIMA ’17 nanti,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mengulas simulasi latihan hari ini, Veng Leong, berkata ‘nahas’ membabitkan pesawat Aermacchi MB-339 yang sedang mengadakan pertunjukan udara sebelum berlanggar dan terhempas ke atas orang ramai yang sedang menyaksikan pertunjukan itu.

“SAREX masih berbaki dua hari lagi dan tumpuan kita selepas ini adalah menilai keberkesanan operasi rawatan kecemasan di Hospital Langkawi dan kawalan lalu lintas oleh Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama latihan SAREX yang memfokuskan operasi menyelamat mangsa nahas maritim di perairan Pulau Singa Besar dan Dayang Bunting berakhir dengan kejayaan, semalam.

LIMA 2017 akan berlangsung dari 21 hingga 25 Mac ini dengan empat pasukan aerobatik tersohor dunia mengesahkan mengadakan pertunjukan udara termasuk Black Eagle dari Korea Selatan, Jupiter (Indonesia), Russian Knight (Russia) dan Sarang (India).

-myMetro