BUKIT KAYU HITAM: Tiga kenderaan yang cuba menyeludup benih kerang ditahan dalam tempoh 40 minit di dua lokasi di sempadan Malaysia-Thailand di sini, semalam.

Anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengesan dua daripada kenderaan terbabit masing-masing Proton Wira dipandu lelaki tempatan berusia 26 dan 22 tahun, ditahan di Kampung Padang Satu, di Bukit Kayu Hitam selang 30 minit iaitu sekitar jam 5.15 hingga 5.40 petang.

Pemeriksaan dalam dua kenderaan itu masing-masing menemui 20 dan 21 guni mengandungi benih kerang seberat 1,230 kilogram dalam but.

Terdahulu, anggota AKSEM turut menahan sebuah Proton Wira dipandu lelaki berusia 31 tahun di Kilometer 1.4 Lebuhraya Utara Selatan dari Changlun menghala Thailand pada jam 5 petang.

Hasil pemeriksaan menemui 26 guni benih kerang seberat 780 kg dalam but kenderaan terbabit yang ditutup dengan kain hitam.

Komander Abd Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya yakin ketiga-tiga kenderaan terbabit dipercayai datang dari arah sama untuk menyeludup benih kerang ke Thailand.

Beliau berkata, biasanya benih kerang diperoleh dari Perak dan dipercayai dibawa ke negara jiran untuk diternak berikutan permintaan tinggi.

“Kita percaya kegiatan didalangi sindiket yang bergerak secara konvoi dan menjadikan kawasan sekitar Changlun sebagai transit memindahkan guni mengandungi benih kerang untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Hasil siasatan, upah diterima penyeludup hanya RM300 untuk membawa benih kerang bagi satu perjalanan ke sana (Thailand),” katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Abd Latif berkata, tiga penyeludupan benih kerang itu dianggar bernilai RM97,000 bagi 67 kg dan harganya dijangka meningkat dua kali ganda di negara jiran.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan bekerja sendiri dan dipercayai melakukan kegiatan itu untuk menambah pendapatan.

“Sekarang sudah masuk musim benih kerang dan ini tangkapan kedua selepas kes pertama, dua minggu lalu.

“Kes akan disiasat mengikut Perkara 3(1) Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur Kerang 2002) dan kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga kenderaan disita untuk siasatan lanjut dan jumlah rampasan termasuk benih kerang dan kenderaan membabitkan lebih RM100,000 – berita harian