TEMERLOH: Tiga lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Karak-Temerloh berhampiran Batu 7, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.14 pagi itu turut menyebabkan dua lelaki parah manakala seorang wanita dan kanak-kanak cedera.

Bagaimanapun identiti kesemua mangsa masih belum dikenalpasti.

Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul berkata, ketiga-tiga mangsa maut akibat tersepit dalam kenderaan masing-masing.

“Kemalangan berkenaan membabitkan treler, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan kenderaan pelbagai guna PROTON Exora yang dinaiki enam sekeluarga.

“Mangsa yang maut adalah dua penumpang PROTON Exora, dan pemandu Toyota Hilux manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba terpaksa menggunakan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk menerima rawatan – berita harian