SEMPORNA: Lebih 30 rumah musnah dalam kebakaran di kawasan perkampungan atas air di Kampung Panji, di sini, malam tadi.

Kejadian jam 10.40 malam itu mengakibatkan lebih 100 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan barangan masing-masing.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.48 malam.

Katanya, seramai 12 anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna dikerah ke lokasi kejadian untuk bantuan segera.

“Setibanya di lokasi kejadian, api sudah memusnahkan hampir sebahagian besar perumahan itu dan operasi pemadam segera dijalankan.

“Api berjaya dikawal pada jam 12.38 tengah malam sebelum tamat sepenuhnya pada jam 2.48 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian – berita harian

1/2