BAGAN SERAI – Polis Perak akan membuat pemotongan elektrik di 30 premis niaga yang menjalankan aktiviti perjudian di seluruh negeri dalam masa terdekat ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, operasi bersepadu membabitkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu antara langkah terbaik bagi menangani kegiatan judi haram khususnya judi dalam talian.

Menurutnya, daripada 30 permohonan yang dikemukakan itu, 12 daripadanya telah pun diambil tindakan membabitkan premis judi di sekitar daerah Ipoh.

“Baki lagi 18 (premis) ini, kita masih menunggu TNB, mereka sangat memberi kerjasama kepada kita dalam menentukan premis-premis perjudian yang wujud.

“Kerjasama rapat ini akan diteruskan dan mana-mana premis yang telah dikesan sebelum ini, kita akan buat pemotongan juga,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata, pihaknya serius dan komited dalam membanteras kegiatan perjudian bagi memastikan negeri ini bebas daripada sebarang aktiviti tidak bermoral.

Katanya, setiap ketua polis daerah telah diarahkan memainkan peranan memastikan tidak berlaku aktiviti perjudian dalam talian atau jenis judi yang lain di kawasan masing-masing.

“Kalau ada maklumat perlu ambil tindakan sepantas mungkin, bagaimanapun aktiviti perjudian di negeri ini tidaklah serius kerana ada sahaja maklumat, kita akan terus ambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, Razarudin menyaksikan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kerian yang baharu di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Superintendan Mazuki Mat, 58, yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh menerima kenaikan jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Kerian menggantikan Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, 56, yang kini bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar. – SINAR