TAPAH: Lebih 300 orang menghadiri program Sembang Santai Usahawan Bersama Komuniti India di Dewan SRJKC Bukit Pagar di sini pada Selasa malam.

Majlis anjuran bersama Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan dan Pejabat MIC Bahagian Tapah.

Program antara lain untuk memperkenalkan lagi YBU di kalangan masyarakat India di Tapah sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Batang Padang dan Kampar.

Dalam masa sama, YBU turut menerangkan perkhidmatan yang mereka disediakan, yang boleh dimanfaatkan oleh kaum India.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Tapah, Datuk M. Saravanan, Penasihat kepada Menteri Besar yang juga Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango, Ketua MIC Bahagian Tapah, Datuk Dr M. Malasingam dan Ketua Pegawai Operasi YBU, Hairul Anwar Mohamed Noor.

sembang-santai-usahawan

Di dalam program itu, Saravanan turut menerangkan peluang-peluang yang disediakan untuk belia, termasuk program belia niaga.

Elango pula mengucapkan terima kasih kepada pihak YBU yang menganjurkan program itu yang disifatkannya sebagai sangat berfaedah untuk komuniti India.

Menurut beliau, YBU yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah banyak membantu kaum India di negeri ini melalui pelbagai program seperti bantuan kotak makanan, pinjaman mikro kredit tanpa faedah, baik pulih dan bina rumah.

Pada majlis itu, YBU turut menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 130 penerima dari sekitar Tapah.