LEKIR: Lebih 3,000 umat Islam membanjiri Dataran Amanjaya Lekir untuk mendengar Ceramah Perdana Datuk Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Manjung.

Dataran Amanjaya Lekir yang baru sahaja dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Khamis, meriah malam ini sehingga jam 11.

Di dalam ceramahnya, seperti biasa Ustaz Kazim membawakan isu-isu kehidupan seharian seperti perkataan yang mudah tetapi sukar untuk diucapkan.

Antara perkataan itu ialah minta maaf, tolong dan terima kasih di samping kesudian memaafkan orang lain.

ustaz-kazim-permukiman 2

Hadir sama mendengar ceramah beliau ialah anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria, Orang Besar Jajahan Manjung, Lt Kol (B) Datuk Shaharuddin Nazari, ADUN Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Asa’ari Mohd Yazid.

Ceramah Perdana Ustaz Kazim dianjurkan bersama kerajaan negeri Perak dan beberapa buah syarikat berkaitan kerajaan serta Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR).