IPOH: Lebih 3,400 pek makanan sahur dan berbuka puasa untuk petugas barisan hadapan COVID-19  disediakan di 11 lokasi di Perak sepanjang bulan Ramadan ini.

Sumbangan disediakan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) di bawah program tanggungjawab sosial korporat yang dikenali Dapur SADC.

Penasihat Kepada Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pek-pek makanan itu disediakan 10 syarikat pembekal yang dihantar terus ke lokasi yang telah ditentukan.

Menurutnya, sebanyak 300 pek disediakan masing-masing di daerah Hilir Perak dan Manjung manakala masing-masing 400 pek lagi untuk Hospital Raja Permaisuri Bainun dan pasukan polis di Ipoh.

“Selain itu untuk kawasan-kawasan Ahli Lembaga Pengarah melibatkan Tambun, Kuala Kurau, Sungai Manik, Tanjung Tualang, Parit, Ipoh semuanya 300 pek sehari. Maknanya kita ada 11 lokasi yang telah diputuskan oleh SADC,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyampaikan pek makanan untuk bersahur kepada anggota polis di sekatan jalan raya di Ipoh pada pagi Jumaat.

Hadir sama Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan Ketua Pegawai Eksekutif SADC, Yahanis Yahya.

Melalui program Dapur SADC, pembekal menyediakan pek makanan bernilai RM7.50 untuk petugas barisan hadapan di samping sumbangan untuk golongan asnaf.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, walaupun telah bertugas sejak lebih sebulan lalu sehingga ke bulan Ramadan ini, komitmen anggota polis yang bertugas di barisan hadapan masih kekal tinggi.

Menurutnya, bertugas di bulan puasa bukanlah halangan untuk mereka terus memberi khidmat terbaik menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, masa bertugas setiap anggota di bulan Ramadan masih sama lapan jam seperti sebelum ini dan mereka juga tiada rehat 24 jam.

“Masa tugas masih sama, cuma kita membuat perubahan sedikit. Misalnya jika sebelum ini mereka tamat kerja pukul 4 petang, tetapi selepas ini mereka akan tamat pukul 1 tengahari.

“Ini memandangkan keadaan pada siangnya panas dan petangnya hujan ataupun ribut. Jadi daripada situ kita telahpun meminta OCPD memikirkan semula apa yang baik bagi kebajikan anggota dia bertugas di sekatan jalan raya,” ujarnya.

Seramai 1,750 anggota polis di Perak bertugas di sekatan jalan raya selama 24 jam di 96 lokasi seluruh negeri di samping 1,200 lagi anggota unit kenderaan yang melakukan pemeriksaan mengejut.