IPOH: seramai 34,150 orang murid dari 250 buah sekolah menengah di Perak akan memulakan pembelajaran apabila sekolah mula dibuka 24 Jun ini.

Mereka terdiri daripada 28,813 pelajar tingkatan lima dan 3,847 tingkatan enam atas di samping 1,034 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SMV) dan 456 Sijil Tinggi Agama Malaysia (sSTAM).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, dalam masa sama 2,305 pelajar akan kembali ke asrama masing-masing.

“Kita harap dalam pembukaan pelajaran pembelajaran secara bersemuka ini, tanggungjawab secara kolektif, secara keseluruhan daripada semua yang terlibat, ibu bapanya sendiri, daripada penghantaran anaknya.

“Sebagaimana yang dimaklumkan bahawa kementerian tidak membuat paksaan sekiranya ibu bapa mempunyai rasa curiga untuk anaknya datang ke sekolah, maka kementerian tidak memaksa, kerajaan tidak memaksa.

“Sekiranya ibu bapa merasakan bahawa anak-anak mereka itu dalam kesihatan yang agak mempunyai tanda-tanda ke arah covid ini, mereka tidak digalakkan untuk datang ke sekolah,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan simulasi pengurusan pembukaan semula sekolah kementerian pendidikan malaysia di SMK Raja Perempuan Ipoh, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Perak, Dr. Mohd Suhaimi Mohamed Ali, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming dan Pengetua SMK Raja Perempuan Ipoh, Datin Rogayah Sukor.

Pada Rabu, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sekolah untuk pelajar kelas peperiksaan awam SPM, SVM, STPM, STAM dan peperiksaan antarabangsa yang setara dibua mulai 24 Jun ini.

Menurut beliau, ia melibatkan seramai 500,444 pelajar dan 2,444 sekolah menengah kebangsaan serta beberapa ratus sekolah antarabangsa di seluruh negara.

keputusan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui pelaksanaan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah sejak April lalu.