KUALA LUMPUR 4 Sept.– Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun terus memberikan komitmen dalam menangani isu keganasan dengan mengumumkan pewujudan 343 perjawatan baharu ke arah memperkasakan Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman.

Menurut beliau, pihaknya akan terus memberi penekanan terhadap isu tersebut yang dilihat bukan sahaja menjadi permasalahan di peringkat domestik malah di peringkat global.

“Malah, kerajaan telah meluluskan 343 jawatan baharu dalam bahagian tersebut di mana saya yakin kita mampu menangani isu tersebut dengan lebih berkesan.

“Saya juga akan memohon kepada kerajaan untuk memberi pertimbangan tertentu berhubung isu ini,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Terdahulu, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib hari ini menyerah tugas kepada Moha­mad Fuzi sambil disaksikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta dua Timbalannya, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat.

Turut berlangsung adalah majlis serah tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) oleh Puan Sri Imran Ibrahim iaitu isteri Khalid kepada penggantinya Datin Seri Azizah Hamdi.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi yang menggalas jawatan Ketua Polis Negara Ke-11 berkata, beliau terkejut dengan pelantikan tersebut malah hanya dimaklumkan berhubung perkara itu beberapa jam sebelum majlis bermula.

Bagaimanapun, Mohamad Fu­zi menjelaskan, beliau optimis malah sedia memikul amanah dan tanggungjawab tersebut walaupun tugasnya lebih berat.

“Tugas baharu ini nyata lebih berat dan sukar kerana saya perlu menjaga 10 jabatan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) jadi saya perlu bersikap adil,” ujarnya.

Sementara itu, Khalid ketika berucap turut meluahkan keyakinan beliau terhadap barisan ke­pemimpinan baharu PDRM yang dilihat sebagai satu pasukan dinamik dan progresif malah disanju­ngi serta dihormati sekali gus menjadi pelindung kepada masyarakat dan benteng kedaulatan negara.

Khalid yang bersara wajib esok sempena tarikh kelahirannya ke-60 berkata, tiada apa yang boleh dianggap sebagai belum diselesaikan kerana beliau telah memberikan yang terbaik sepanjang 41 tahun berkhidmat dalam PDRM.

“Sudah tiba masanya saya meninggalkan PDRM dan mene­rima ketentuan itu dengan penuh kerelaan, sesungguhnya saya sudah berikan semuanya dan yang terbaik,” ujarnya.

-Utusan Online