TELUK INTAN: 350 orang penduduk Kampung Muhibbah yang terjejas akibat banjir susulan fenomena air pasang besar di sini menerima bantuan makanan asas daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bantuan itu disampaikan oleh wakil Menteri Besar semalam. 

Melalui kenyataan Pejabat Menteri Besar pada Selasa, selain makanan kering, turut diagihkan adalah makanan tengahari dan makanan malam serta bekalan air minuman. 

Ketika lawatan itu, semua mangsa sedang membersihkan rumah masing-masing selepas dilanda banjir setinggi paras lutut. 

Banjir kali ini dikatakan berpunca daripada benteng sungai berhampiran kampung ini telah roboh. 

Difahamkan kerja-kerja membaiki benteng sungai yang roboh akan dimulakan dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan itu lagi, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Ismail Ibrahim telah mengadakan sesi lawatan ke Taman Muhibbah berhubung isu banjir kilat itu.


Turut hadir ADUN Changkat Jong,  Datuk Azhar Jamaluddin, Ketua Jabatan MPTI, Wakil JPS dan wakil Syarikat Puncak Emas Infra Sdn Bhd.

Punca banjir telah dikenalpasti disebabkan air pasang besar dari Sungai Perak yang melimpah melalui estet berhampiran dan mengakibatkan ban pecah seterusnya mengakibatkan banjir di kawasan tersebut.

Wakil JPS Hilir Perak memaklumkan pihaknya telah melantik kontraktor bagi membaikpulih ban tersebut dengan kadar segera. 

Pihak MPTI bersama PE infra telah mengambil tindakan dengan menyelenggara dan melaksana kerja kerja pembersihan kawasan dengan kadar segera.