SHAH ALAM – Sebanyak 39 kumpulan ajaran sesat telah dikenal pasti di Selangor dengan tiga daripadanya mampu mengancam ketenteraman awam serta berbahaya kepada negara.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan Se­langor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, tiga ajaran sesat yang mengancam keselamatan negara itu ialah ajaran Syiah, Millah Abraham dan kumpulan militan Daesh.

“Antara ajaran sesat lain yang aktif di Selangor ialah kumpulan antihadis, fahaman liberalisme, Ajaran Islam Jemaah, Ajaran Negara Islam Indonesia, Al-Arqam, Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Junid dan Aurat Islamiah Mahmud Haji Abdul Rahman,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Khasim Abdul Aziz (Pas-Lembah Jaya) mengenai ajaran sesat yang masih aktif di Selangor serta ancamannya kepada ketenteraman awam.

Ahmad Yunus menyatakan, kumpulan Millah Abraham menjalankan usaha untuk mewujudkan negara baharu dan menghasut ahlinya melakukan sebarang tindakan bagi mencapai objektif ajaran mereka meskipun bertentangan dengan norma masyarakat.

-Kosmo! Online